Pages

Sila Klik

Feb 5, 2011

10 Tanda Menunjukkan Dia Adalah Jodoh Kita by Lovely Crawler



Gunakan seluruh pancaindera,Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Tuhan yang maha esa. Tetapi bagaimana kita hendak mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Tuhan mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan akal untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi, spiritual dan fizikal antara keduanya.

Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang lovely perkatakan? Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita ;

1. Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik.

Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

2. Senang atau selesa bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita.

Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

3. Terima kita seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan.

Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini.

Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4. Sentiasa jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita.

Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan.

Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

5. Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung.

Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka.

Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

6. Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar.

Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama.

Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan.

Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7. Memahami diri kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar.

Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita.

Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, ‘lidah sendiri lagikan tergigit, inikan pula suami isteri’. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih.

Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8. Tampilkan kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut.Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita.Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita.

Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya. Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

9. Kata hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Tuhan deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya.Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindak balas pada situasi tertentu.

Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10. Mimpi
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi.Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Tuhan memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat mimpi petunjuk. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya.

Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara. Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.

Fikirkanlah. Adakah dia jodoh kita..?

“ Manusia merancang, Allah menentukan..”

Jangan Tinggal Daku

      Hoi! Aku Abu . Aku gila . Semua orang panggil aku Abu Gila . Hari- hari aku akan berjalan kaki tanpa hala tuju. Walaupun aku orang gila, tapi aku ada cita-cita. Cita-cita aku nak jadi Posmen .Posmen boleh bawak motor laju-laju!.
      Eh ! Lupa nak kenalkan. Aku ada kawan nama Gebu. Gebu seekor kucing yang comel . Aku jumpa Gebu tepi longkang. Gebu cakap, dia lari dari tuan dia sebab tuan dia suka sepak-sepak dia. Bodohnya tuan dia! Dia taktau ka Gebu ni comel ! Aku yang gila ni pun tak pernah sepak kucing . Gila punya tuan ! Tak pa gebu, Abu janji Abu akan jaga Gebu.
      Gebu selalu teman aku . Aku sayang Gebu. Ramai budak-budak jahat nak main-main dengan Gebu. Tak boleh! Aku tak bagi! Nanti bila Gebu dah main-main dengan depa, depa mesti akan buat jahat kat Gebu. Sepak-sepak Gebu.Pijak-pijak Gebu. Gebu kata dia tak suka main dengan budak lain. Gebu suka aku ja. Sebab aku selalu ada untuk Gebu. Gebu tak sedar, sebenarnya dia yang selalu ada untuk aku. Sejak Gebu ada dalam hidop aku, aku happy selalu. Biar la orang ludah aku sekali pun, aku dah tak sedih sebab Gebu ada. 
      Semakin hari , aku makin sayang Gebu . Gebu ja paham aku . Aku harap Gebu takkan tinggal aku. Aku sanggup buat apa saja asalkan Gebu selalu bersama dengan aku.Aku takut sangat bila ada orang yang cuba dekat dengan dia. Aku tau pakcik makcik ni orang baik2. Depa boleh jaga Gebu. Tapi kalau Gebu ikot depa, aku nak kawan ngan sapa. Aku orang gila. Takdak orang nak kawan ngan aku. Lagi pun aku dah janji dengan Gebu. Aku nak jaga Gebu. Aku taknak Gebu disakiti lagi. Gebu ada hak untuk bahagia macam kucing-kucing yang lain. Walaupun aku tak mampu nak bagi Gebu makan makanan mewah,tempat yang selesa,tapi aku sanggup buat apa saja asalkan Gebu selalu gembira. Biar la Gebu ada 9 nyawa sekali pun, aku sanggup korbankan 1 nyawa yang aku ada untuk pastikan Gebu sentiasa selamat.
       Semalam Gebu tanya. Kalau dia main-main dengan kucing-kucing yang lain,aku cemburu tak.Apala Gebu.Mana boleh cemburu.Kan Gebu kenal depa awal sebelum Abu.Gebu kawan la dengan semua kucing dalam dunia ni.Asalkan Gebu tak lupa Abu, Abu tak kisah !
      Tiba-tiba tuan Gebu yang jahat muncul ketika aku tengah cari makanan untuk Gebu. Dia kejar Gebu. Gebu cuba lari ke arah aku.Aku cepat-cepat mendakap Gebu dan lari sejauh mungkin. Uish, walaupun aku gila.Aku lari laju . Macam pelari pecut negara. Tuan Gebu jerit, dia nak Gebu balik. Dia rindu Gebu. Aku tengok muka Gebu tiba-tiba berubah. Hurmmm.
      Bila aku buka mata hari ni. Gebu dah takdak. Gebu...Gebu pergi mna? Gebu tinggal Abu ka? Puas aku cari Gebu, x jumpa2. Sampai la sekarang. Hari dah gelap.Mana Gebu ni.Gebu ok ka?Mungkin Gebu pergi main dengan kawan-kawan lama dia. Esok dia balik la.Tapi kalau Gebu tak balik macam mana?Lebih teruk lagi,kalau dia balik rumah tuan dia.Gebu !!!! Jangan buat Abu macam ni. Abu SAYANG Gebu !

Gebu...Kalau la Gebu dengar rintihan Abu ni.Abu nak Gebu tau,Abu sayang sangat dengan Gebu.Abu cuba terima kalau Gebu tak nak bersama Abu lagi.Abu sedar.Abu ni orang gila.Tapi Gebu kena jaga diri Gebu tau. jangan biar orang lain pijak-pijak Gebu lagi . Satu yang Abu nak. Jangan balik rumah tu.Nanti Gebu terluka lagi. Abu taknak Gebu sakit macam dulu. Abu nak Gebu gembira.

GEBU!!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...